Faktor buli
dalam kalangan remaja
Sememangnya tidak
dapat dinafikan bahawa masalah buli dalam kalangan remaja semakin
menjadi-jadi. Apa yang paling penting
adalah kita perlu mengetahui beberapa punca utama yang mendorong kepada
golongan remaja terjebak kepada gejala buli ini. Beberapa punca utama iaitu faktor diri
sendiri, pengaruh daripada rakan sebaya, faktor persekitaran, kegagalan
institusi kekeluargaan dan perkembangan mangsa buli.
Faktor Diri
Sendiri
Perubahan daripada
alam kanak-kanak kepada alam dewasa merupakan waktu yang mengelirukan bagi
remaja kerana pada masa ini mereka akan mengalami perubahan kritikal dari segi
psikomotor, emosi dan juga mental. Pada
peringkat ini sepatutnya mereka memerlukan perhatian serta waktu bersama lebih
bersama ibu bapa. Namun ada sesetengah
remaja lebih gemar bersama rakan mereka.
Selain itu, kurangnya penghayatan akhlak dalam diri remaja juga boleh
mendorong remaja terlibat dalam masalah buli ini. Menurut Najati (1993), keruntuhan nilai
akhlak di dalam sesebuah masyarakat boleh menjadi ancaman kepada kesejahteraan
mental individu.
Seterusnya, masalah buli ini adalah satu cara untuk melepaskan geram
setelah berlaku perkara yang memalukan diri kepada pembuli. Pembuli ini juga akan berasa puas apabila dapat
membuli mangsa yang lemah walaupun mereka sudah tahu perkara ini salah dari
segi peraturan dan undang-undang.
Masalah ini sangat berkait rapat dengan faktor psikologi. Faktor psikologi adalah seperti kekecewaan
hidup dan keterlepasan kawalan kuasa id.
Id merupakan dorongan biologi
dan tenaga naluri yang mendorong manusia bertindak bagi mendapatkan kepuasan
tanpa mengira akibat ( Zainal dan Sharani, 2006).
Masalah buli ini juga semakin menular ibarat cendawan tumbuh selepas
hujan dan sememangnya perlu dipandang serius oleh semua pihak. Seperti kita tahu, remaja yang terlibat
dengan buli tidak serik sebaliknya menganggap salahlaku buli sebagai hobi dan
yang lebih teruk lagi mereka terlibat dengan gejala ini adalah untuk diberi
perhatian lebih. Sememangnya remaja sangat memerlukan kasih sayang serta perhatian
yang secukupnya kerana peringkat ini mereka sedang mencari identiti sebenar
mereka. Faktor diri remaja itu sendiri
juga penting dalam menentukan identiti serta matlamat mereka kerana remaja
sememangnya mempunyai inspirasi tersendiri dan tidak suka dikongkong. Tegasnya, masalah buli ini sangat serius dan
faktor diri sendiri merupakan faktor dominan kepada masalah buli ini.
3.2 Faktor
Rakan Sebaya
Rakan sebaya
mempengaruhi individu sejak seseorang individu mula bersosial di luar rumah
selain adik-beradiknya sendiri. Menurut
Berk (1989), rakan sebaya ialah mereka yang sama umur kronologi atau hampir
sama umur dengan seseorang individu. Apa
yang dapat dikaitkan ialah remaja hari ini terlibat dengan masalah buli adalah
disebabkan oleh rakan sebaya.
Pertama sekali, mereka yang terjebak kepada masalah ini adalah untuk
memastikan penerimaan dalam ahli kumpulan.
Mungkin mereka perlu melakukan pembulian kepada individu lain sebagai
syarat untuk menjadi salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut. Perkara ini sangat serius kerana melibatkan
individu lain namun pada pemikiran remaja ketika ini sangat berbeza kerana
mereka hanya memikirkan keseronokan serta perhatian daripada rakan yang
lain. Pada peringkat remaja ini juga
mereka berfikiran kurang matang dan gagal membezakan baik buruknya sesuatu
tindakan. Sebaliknya, mereka lebih
terikut dengan perangai dan tindakan rakan sebaya. Hal ini dapat diperhatikan dalam Teori
Perkembangan Erikson pada peringkat identiti lawan kekeliruan peranan (12-20
tahun) iaitu rakan sebaya banyak memberikan pengaruh kepada mereka dalam aspek
personaliti. Jelaslah, rakan sebaya
merupakan dalang utama kepada masalah buli ini kerana mereka mempengaruhi
pemikiran remaja yang sedang terkial-kial mencari identiti kepada diri mereka
sendiri.
Rakan sebaya juga faktor yang dominan disebabkan mereka merupakan
orang yang paling dekat dengan seseorang individu. Menurut Abd. Majid dan Rahil (1997) dan
Santrock (2007), remaja lebih rapat dengan rakan sebaya daripada ibu
bapanya. Hal ini jelas bahawa remaja
lebih selesa, spontan dan terbuka bersama rakan kerana merasakan tiada
kongkongan daripada orang dewasa. Tidak
hairanlah rakan sebaya dijadikan faktor penyumbang kepada masalah buli kerana
mereka merupakan orang yang paling akrab dengan seseorang individu.
Faktor
Persekitaran
Faktor seterusnya
yang menyumbang kepada masalah buli dalam kalangan remaja adalah faktor
persekitaran. Faktor persekitaran yang
banyak mempengaruhi seseorang individu adalah persekitaran di rumah dan di
sekolah. Dua faktor utama ini sangat
dominan kerana remaja sememangnya tinggal di rumah bersama ibu bapa dan juga
berada di sekolah untuk proses pembelajaran mereka. Faktor persekitaran ini
sangat berkait rapat dengan Teori Erik Erikson yang menyatakan sikap remaja itu
boleh dipengaruhi oleh komuniti sekeliling dan juga persekitaran.
Pertama sekali, persekitaran
di rumah adalah sangat penting untuk remaja kerana persekitaran itu banyak
mempengaruhi sikap, akhlak dan proses kematangan individu. Hal ini demikian kerana persekitran di rumah
adalah tempat tinggal mereka sejak dari kecil.
Tempat tinggal yang lebih terdedah kepada masyarakat bermasalah contohnya
pusat kongsi gelap serta gangsterisme boleh mempengaruhi pemikiran remaja untuk
melakukan perkara yang sama iaitu melakukan penindasan terhadap orang yang
lebih lemah. Tidak hairanlah remaja hari
ini mengikut sikap ini untuk membuli di sekolah. Mereka juga akan membuli dan memeras ugut
untuk suka-suka pada mulanya tetapi lama-kelamaan akan menjadi tabiat dan
salahlaku ini akan menjadi satu wabak yang terus menular dalam kalangan remaja
hari ini.
Seterusnya, persekitaran di sekolah juga sangat penting dalam
masalah ini. Hal ini demikian kerana
persekitaran sekolah yang kurang peka terhadap masalah buli boleh memberi
peluang keemasan kepada pembuli untuk melakukan kegiatan salahlaku mereka. Seperti kita tahu, golongan remaja
sememangnya mempunyai sikap ingin mencuba yang sangat tinggi. Selain itu, peraturan
di sekolah tidak ketat dan hukuman yang ringan yang dilaksanakan di sekolah
juga penyumbang kepada masalah buli ini.
Mereka tidak berasa takut kerana perkara ini sudah dilakukan sebagai
aktiviti harian. Apa yang perlu
ditegaskan adalah persekitaran di rumah dan juga persekitaran di sekolah
merupakan faktor dominan dalam menyebabkan berlakunya salahlaku buli dalam
kalangan remaja.
No comments:
Post a Comment