Tuesday, 25 March 2014

Faktor Masalah Buli

  Faktor buli dalam kalangan remaja
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa masalah buli dalam kalangan remaja semakin menjadi-jadi.  Apa yang paling penting adalah kita perlu mengetahui beberapa punca utama yang mendorong kepada golongan remaja terjebak kepada gejala buli ini.  Beberapa punca utama iaitu faktor diri sendiri, pengaruh daripada rakan sebaya, faktor persekitaran, kegagalan institusi kekeluargaan dan perkembangan mangsa buli.


 Faktor Diri Sendiri
Perubahan daripada alam kanak-kanak kepada alam dewasa merupakan waktu yang mengelirukan bagi remaja kerana pada masa ini mereka akan mengalami perubahan kritikal dari segi psikomotor, emosi dan juga mental.  Pada peringkat ini sepatutnya mereka memerlukan perhatian serta waktu bersama lebih bersama ibu bapa.  Namun ada sesetengah remaja lebih gemar bersama rakan mereka.  Selain itu, kurangnya penghayatan akhlak dalam diri remaja juga boleh mendorong remaja terlibat dalam masalah buli ini.  Menurut Najati (1993), keruntuhan nilai akhlak di dalam sesebuah masyarakat boleh menjadi ancaman kepada kesejahteraan mental individu.
Seterusnya, masalah buli ini adalah satu cara untuk melepaskan geram setelah berlaku perkara yang memalukan diri kepada pembuli.  Pembuli ini juga akan berasa puas apabila dapat membuli mangsa yang lemah walaupun mereka sudah tahu perkara ini salah dari segi peraturan dan undang-undang.  Masalah ini sangat berkait rapat dengan faktor psikologi.  Faktor psikologi adalah seperti kekecewaan hidup dan keterlepasan kawalan kuasa id.  Id  merupakan dorongan biologi dan tenaga naluri yang mendorong manusia bertindak bagi mendapatkan kepuasan tanpa mengira akibat ( Zainal dan Sharani, 2006).
Masalah buli ini juga semakin menular ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan sememangnya perlu dipandang serius oleh semua pihak.  Seperti kita tahu, remaja yang terlibat dengan buli tidak serik sebaliknya menganggap salahlaku buli sebagai hobi dan yang lebih teruk lagi mereka terlibat dengan gejala ini adalah untuk diberi perhatian lebih. Sememangnya remaja sangat memerlukan kasih sayang serta perhatian yang secukupnya kerana peringkat ini mereka sedang mencari identiti sebenar mereka.  Faktor diri remaja itu sendiri juga penting dalam menentukan identiti serta matlamat mereka kerana remaja sememangnya mempunyai inspirasi tersendiri dan tidak suka dikongkong.  Tegasnya, masalah buli ini sangat serius dan faktor diri sendiri merupakan faktor dominan kepada masalah buli ini.

3.2  Faktor Rakan Sebaya
Rakan sebaya mempengaruhi individu sejak seseorang individu mula bersosial di luar rumah selain adik-beradiknya sendiri.  Menurut Berk (1989), rakan sebaya ialah mereka yang sama umur kronologi atau hampir sama umur dengan seseorang individu.  Apa yang dapat dikaitkan ialah remaja hari ini terlibat dengan masalah buli adalah disebabkan oleh rakan sebaya. 
Pertama sekali, mereka yang terjebak kepada masalah ini adalah untuk memastikan penerimaan dalam ahli kumpulan.  Mungkin mereka perlu melakukan pembulian kepada individu lain sebagai syarat untuk menjadi salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut.  Perkara ini sangat serius kerana melibatkan individu lain namun pada pemikiran remaja ketika ini sangat berbeza kerana mereka hanya memikirkan keseronokan serta perhatian daripada rakan yang lain.  Pada peringkat remaja ini juga mereka berfikiran kurang matang dan gagal membezakan baik buruknya sesuatu tindakan.  Sebaliknya, mereka lebih terikut dengan perangai dan tindakan rakan sebaya.  Hal ini dapat diperhatikan dalam Teori Perkembangan Erikson pada peringkat identiti lawan kekeliruan peranan (12-20 tahun) iaitu rakan sebaya banyak memberikan pengaruh kepada mereka dalam aspek personaliti.  Jelaslah, rakan sebaya merupakan dalang utama kepada masalah buli ini kerana mereka mempengaruhi pemikiran remaja yang sedang terkial-kial mencari identiti kepada diri mereka sendiri.
Rakan sebaya juga faktor yang dominan disebabkan mereka merupakan orang yang paling dekat dengan seseorang individu.  Menurut Abd. Majid dan Rahil (1997) dan Santrock (2007), remaja lebih rapat dengan rakan sebaya daripada ibu bapanya.  Hal ini jelas bahawa remaja lebih selesa, spontan dan terbuka bersama rakan kerana merasakan tiada kongkongan daripada orang dewasa.  Tidak hairanlah rakan sebaya dijadikan faktor penyumbang kepada masalah buli kerana mereka merupakan orang yang paling akrab dengan seseorang individu. 

  Faktor Persekitaran
Faktor seterusnya yang menyumbang kepada masalah buli dalam kalangan remaja adalah faktor persekitaran.  Faktor persekitaran yang banyak mempengaruhi seseorang individu adalah persekitaran di rumah dan di sekolah.  Dua faktor utama ini sangat dominan kerana remaja sememangnya tinggal di rumah bersama ibu bapa dan juga berada di sekolah untuk proses pembelajaran mereka. Faktor persekitaran ini sangat berkait rapat dengan Teori Erik Erikson yang menyatakan sikap remaja itu boleh dipengaruhi oleh komuniti sekeliling dan juga persekitaran.
 Pertama sekali, persekitaran di rumah adalah sangat penting untuk remaja kerana persekitaran itu banyak mempengaruhi sikap, akhlak dan proses kematangan individu.  Hal ini demikian kerana persekitran di rumah adalah tempat tinggal mereka sejak dari kecil.  Tempat tinggal yang lebih terdedah kepada masyarakat bermasalah contohnya pusat kongsi gelap serta gangsterisme boleh mempengaruhi pemikiran remaja untuk melakukan perkara yang sama iaitu melakukan penindasan terhadap orang yang lebih lemah.  Tidak hairanlah remaja hari ini mengikut sikap ini untuk membuli di sekolah.  Mereka juga akan membuli dan memeras ugut untuk suka-suka pada mulanya tetapi lama-kelamaan akan menjadi tabiat dan salahlaku ini akan menjadi satu wabak yang terus menular dalam kalangan remaja hari ini.

Seterusnya, persekitaran di sekolah juga sangat penting dalam masalah ini.  Hal ini demikian kerana persekitaran sekolah yang kurang peka terhadap masalah buli boleh memberi peluang keemasan kepada pembuli untuk melakukan kegiatan salahlaku mereka.  Seperti kita tahu, golongan remaja sememangnya mempunyai sikap ingin mencuba yang sangat tinggi. Selain itu, peraturan di sekolah tidak ketat dan hukuman yang ringan yang dilaksanakan di sekolah juga penyumbang kepada masalah buli ini.  Mereka tidak berasa takut kerana perkara ini sudah dilakukan sebagai aktiviti harian.  Apa yang perlu ditegaskan adalah persekitaran di rumah dan juga persekitaran di sekolah merupakan faktor dominan dalam menyebabkan berlakunya salahlaku buli dalam kalangan remaja. 
Pertama sekali bersyukur kerana dengan limpah izin Nya dapat kami menyediakan satu BLOG untuk  Kit Pembangunan Sahsiah atau spesifiknya dikenali sebagai A Personality Development Kit for Excellent Teacher bagi meningkatkan kesedaran khususnya kepada bakal guru dan guru-guru tentang Masalah Buli Dalam Kalangan Remaja.



Ahli kumpulan kami diketua oleh Mohammad Rizwan bin Mamat dan terdiri 3 penolong ketua iaitu Muhamad Faqih bin Mat Husin, Muhammad Mursyid bin Muhamad Zawawi dam Mohd Taufiq bin Mohd Ramly. Kami akan memastikan apa yang kami hasilkan ini akan mencapai objektif untuk memberikan kesedaran tentang masalah buli yang semakin kronik. Pelbagai perkongsian pengalaman, intensiti masalah buli, kesan, faktor dan langkah mengatasi akan dibincangkan dalam BLOG ini.



Bukan satu benda baru lagi masalah ini tetapi semakin menjadi-jadi dan hebat diperdebatkan di media massa dan juga di kedai-kedai kopi.  Namun, kita sebagai generasi Y hendaklah merenung sejenak dan memikirkan apakah kesan terlibat dengan masalah buli ini? Apakah masalah kita dapat diselesaikan? Bersikap relevan dalam mengelakkan  masalah buli ini adalah sangat berkesan apabila setiap individu hari ini berperanan dalam menangani masalah buli ini.


Definisi Buli

1 Definisi Buli
Dari sudut pandangan pakar buli di definisikan sebagai “Berlaku apabila pembuli merasa seronok kerana sengaja mahu mencederakan mangsa, dimana terdapat ketidakseimbangan kuasa dan berlaku berulang kali, dan akhirnya mangsa tertindas atau tertekan” (Rigby, 2002 : 57). Ini menjelaskan bahawa pembuli melakukan aktiviti ini hanya ingin keseronokan dan kuasa.
Secara umumnya, buli terdiri daripada dua kategori yang besar iaitu buli fizikal dan buli psikologi . Buli fizikal bermaksud mendatangkan kecederaan fizikal samada diluar anggota badan ataupun organ dalaman manakala buli psikologi merupakan penyebab gangguan emosi kepada mangsa buli. 
Selain dua kategori buli ini terdapat beberapa cara buli yang dilakukan oleh pelajar sekolah antaranya adalah buli bahasa yang bermaksud menggunakan lisan untuk menyakiti perasaan pelajar lain dengan cara mengejek pelbagai panggilan, menyindir, berbisik-bisik, membuat ancaman verbal dan sebagainya. Seterusnya buli isyarat yang merujuk kepada menggunakan anggota badan meraka untuk membuli contohnya menjengil mata, meludah, menggoyang punggung, menggunakan jari yang ada isyarat lucah dan sebagainya. Buli perhubungan adalah amalan sengaja mengenepikan seseorang yang tidak disukai. Buli ini banyak berlaku di antara  pelajar perempuan. Peras ugut merupakan salah satu jenis buli contohnya meminta wang daripada mangsa, mengambil makan, meminta menyiapkan kerja sekolah dan membasuh dan menggosok pakaian pembuli setiap hari. Buli siber juga merupakan salah satu jenis buli dengan cara menggunakan medium media massa seperti Facebook, Youtube dan SMS untuk mengancam  perasaan dan kehidupan mangsa supaya tidak tenteram.